Monday, July 18, 2005

Khairy sebagai bakal PM?

Jangan terkejut kalau Khairy Jamaluddin, yang menjadi penasihat kepada Pak Lah, menjadi bakal perdana menteri sebelum dia mencapai usia 40 tahun. Pada masa ini dia berusia 29 tahun dan bapa mertuanya masih lagi menjadi perdana menteri. Menurut rencananya, tentulah dia akan menggantikan Pak Lah sebagai bakal PM kelak sekiranya Allah merestui dan Umno menerima baik dan menyokong membabi-buta hasratnya itu.

Dalam politik bukanlah suatu kesalahan kalau seseorang bermimpi hendak menjadi PM ataupun apa saja yang diingininya. Kalau Khairy menganggap dia paling layak dan semua pemimpin lain, kecuali bapa mertuanya, untuk menjadi PM, maka perlulah dia merancang strateginya dan sekarang.

Oleh kerana Pak Lah menang jawatan presiden tanpa bertanding, maka menantu kesayangannya juga menang tanpa bertanding. Ini bererti baik Pak Lah mahupun menantunya menang tanpa mendapat restu para dari perwakilan Umno. Ini juga ditafsirkan oleh para pemerhati politik sebagai kemenangan yang belum diuji.

Malah banyak pihak berpendapat ia berlawanan dengan perjuangan dan perlembagaan Umno sendiri yang berpegang pada amalan kepimpinan parti mestilah dipilih oleh para perwakilan sekali dalam tiga tahun.

Oleh itu, apakah Khairy yang takut menghadapi cabaran dalam pertandingan, boleh dianggap seorang pemimpin yang berwibawa, bermaruah dan berjiwa besar? Tentulah rakyat tidak yakin dengan kewibawaannya memandangkan dia sendiri takut menghadapi cabaran dan menang tanpa bertanding. Sebenarnya dia takut menghadapi cabaran melalui pertandingan yang sihat dan bersifat demokrasi.

Dia juga sedar di kalangan Pemuda, masih ada pemimpin yang lebih besar jasa dan pengalaman yang luas. Dia juga sedar dia tidak banyak jasa dalam Umno kerana baru saja menyertai parti itu setelah tamat belajar dari Oxford dan bekerja dengan Pak Lah sebagai salah seorang pembantu khas sebelum bernikah dengan Nori, anak gadis Pak Lah.

Oleh kerana anak lelakinya Kamaluddin lebih berminat menjadi super jutawan sebagai orang korporat dan Nori, anak perempuannya, tidak mahu tampil ke tengah dalam politik, maka dia (Pak Lah) tidak ada jalan lain kecuali menonjolkan menantunya yang berkelulusan Oxford sebagai bakal pemimpin Umno yang boleh menggantikannya kelak kalau Allah merestui agenda politik mereka.

Sebagai pemimpin politik veteran Pak Lah tentulah mempunyai pengalaman yang pahit dan manis tentang sepak terajang, silat dan kuntau mainan politik Umno. Banyak orang berpendapat Pak Lah banyak terhutang budi kepada Dr Mahathir Mohamad yang memberi peluang kepadanya kembali aktif dalam kabinet setelah terbuang bila dia berpihak kepada Team B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah.

Walaupun Anwar Ibrahim pernah menjadi anak emas Mahathir sebagai Timbalan perdana menteri dan diwarwarkan sebagai penggantinya, namun demikian Mahathir tetap memberi tempat dan ruang kepada Pak Lah untuk menganggotai kabinetnya setelah terbuang dari kabinet.

Tuah Pak Lah

Malah sewaktu Anwar dalam kabinet Mahathir, nama Pak Lah tidak pernah disebut-sebut sebagai bakal Timbalan Perdana menteri, apa lagi sebagai perdana menteri. Tapi Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, maka dengan tidak disangka-sangka cempedak sudah menjadi nangka dan Pak Lah dilantik Mahathir sebagai Timbalan Perdana menteri bila Anwar dikebiri dan berlabuh buat sementara waktu di penjara Sungai Buloh.

Inilah tuah Pak Lah. Peristiwa sejarah menyebabkan Pak Lah menjelma sebagai perdana menteri pada hari ini. Takdirnya Tengku Razaleigh Hamzah menang dalam pemilihan pucuk pimpinan Umno pada tahun 1987 dan beliau menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, besar kemungkinan Pak Lah akan kekal dalam kabinet Ku Li tetapi bukan sebagai timbalan perdana menteri. Inilah pandangan kebanyakan para pemimpin Umno dan orang awam.

Memandangkan Najib Tun Razak dan Hishammuddin Tun Hussein adalah anak bekas perdana menteri yang mempunyai harapan untuk menjadi bakal perdana menteri kelak, maka dia juga ingin mengujudkan dinasti Abdullah Ahmad Badawi melalui menantunya.

Banyak orang berpendapat Pak Lah lebih mempercayai menantunya dari ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno ataupun menteri kabinetnya. Sebagai orang yang bercita-cita tinggi untuk menjadi bakal perdana menteri sebelum ayam den lapek pada usia 40 tahun, Khairy sudah merancang jalan pintas ke Putrajaya tanpa melalui jalan-jalan berliku dan berdebu, dengan lopak dan lembu-lembu berkeliaran.

Dia dan Hishamuddin menang tanpa bertanding. Media perdana yang dikuasainya melalui ihsan bapa mertuanya yang menjadi perdana menteri menggembur-gemburkan kehebatan dan kebijaksanaannya sebagai seorang pemimpin politik.

Dia tidak keseorangan dalam melayari khayalannya untuk menjadi bakal perdana menteri. Pak Lah tetap bersamanya. Begitu juga ibu mertuanya, Nori isterinya, Kamaluddin, abang iparnya, ibunya sendiri Datin Rahmah, dan jangan dilupakan, Kalimullah Hassan, Ketua Pengarang New Straits Times dan bos Khairy dalam syarikat ECM Libra di mana Kalimullah mempunyai saham terbesar dan sejak tahun 2003 menjadi salah seorang super jutawan.

Bagi memenuhi agenda politik Khairy dia pertama kali dilantik sebagai ahli exco Pemuda oleh Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda, yang bernafsu besar tetapi pengaruh dan kemampuan politik kurang.

Malah sudah timbul keresahan di kalangan Pemuda untuk meminggirkan Hishamuddin dan digantikan dengan tokoh muda yang lebih berwibawa dan mempunyai rekod kepimpinan yang cemerlang sebagai ketua Pemuda pada pemilihan yang lalu.

Banyak orang berpendapat sekiranya Dr Mohd Khir Toyo, Menteri Besar Selangor, sanggup menentang Hishamuddin besar kemungkinan Khir Toyo akan menang. Tapi Khir lebih berminat menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno kerana beliau tidak mahu bergelut dan bersilat sesama sahabat dalam Pemuda yang dianggap tidak mempunyai oomph sejak Hishamuddin memimpinnya.

Pelaburan politik

Justeru itu dia juga mencari dahan yang kukuh dan pokok yang rendang untuk berteduh. Sebagai menantu Pak Lah yang dianggap paling berkuasa dalam usia 28 tahun, Hishamuddin juga tahu bagaimana hendak menyesuaikan tarian menurut irama semasa. Dia memang senang sekali dengan Khairy kerana dianggap sebagai suatu pelaburan politik jangka panjang.

Kalau Khairy bijak main politik secara pintas, “short cut”, menjadi naib ketua selepas empat tahun menjadi ahli Umno, maka dia juga ingin berkongsi angan-angan dengan Khairy untuk menjadi bakal timbalan perdana menteri kelak. Sebenarnya Khairy hendak memperalatkan Hishammuddin dan Pemuda untuk dia melonjak lebih tinggi dari kedudukannya sebagai naib ketua.

Malah ada pihak yang menganggap Khairy adalah Ketua Pemuda, bukan Hishamuddin kerana hubungannya yang super akrab sebagai penasihat kepada Pak Lah. Menurut salah seorang pemimpin Pemuda, Khairy memainkan peranan paling penting dalam pemilihan kira-kira 50 orang pemimpin Pemuda menjadi calon dalam pilihanraya yang lalu. Kini ada antara mereka yang menjadi anggota kabinet, exco beberapa kerajaan negeri, ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri. Tidak pernah sebelum ini Pemuda diberi peluang menjadi calon yang begitu ramai oleh Presiden Umno.

Menurut sumber tertentu, Majlis Tertinggi Umno juga membincangkan hasrat Khairy hendak bertanding sebagai naib ketua Pemuda. Seperti biasa berbagai ahli memberikan pandangan yang tentunya menyokong habis-habisan walaupun perkara itu tidak perlu dibincangkan dalam jawatankuasa tertinggi parti. Apakah Pak Lah sengaja hendak melihat siapakah antara ahli Majlis Tertinggi yang menyokong menantunya dan siapa pula antara mereka yang diam membisu tanpa berhasrat memberi pandangan apa-apa terhadap isu yang tidak sewajarnya dibicarakan dalam badan tersebut?

Dalam masa tiga tahun akan datang, Khairy akan memainkan peranan yang aktif hingga menggerhanai Hishamuddin, demi menjaga kepentingan politiknya dan juga Pak Lah. Dia kini sibuk menemui mereka yang malang menghulur derma berjuta ringgit dan syarikat Libra untuk tujuan kebajikan dan pendidikan.

Seperti biasa akhbar-akhbar perdana yang dikuasai Pak Lah turut memeriahkan lagi kegiatan Khairy. Jejak langkah ke arah menjadi bakal perdana menteri telah bermula. Dia, seperti Pak Lah, sangat yakin rakyat majmuk di negara ini akan terus menerus memberi sokongan yang super hangat kepada pimpinan Pak Lah selagi beliau menjadi perdana menteri. Kalau rakyat dan ahli Umno menyokong Pak Lah tanpa penat lelah kerana kepimpinannya dianggap cemerlang, gemilang dan terbilang maka tentulah rakyat dan ahli Umno juga akan memberi sokongan yang super hangat kepada menantu Pak Lah.

Ada orang berkata Khairy terpaksa mengejar masa untuk meluaskan pengaruh politiknya dan membina ‘networking’ dalam parti kerana bimbang sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku pada Pak Lah. Pak Lah kini menghadapi tekanan yang kuat, bukan saja mengenai politik dalaman tetapi juga dalam pentadbiran negara serta tekanan yang kuat dan pihak asing.

Krisis tekanan jiwa

Dia tahu ada puak-puak dalam Umno tidak senang dengan kepimpinannya dan stail pentadbirannya.Yang lebih penting lagi, menurut berbagai sumber, sekiranya isterinya yang tercinta meninggal dunia akibat penyakit barah payudara yang dialaminya. Kalau isterinya tidak bersamanya, menurut pengamatan berbagai pihak, Pak Lah akan menghadapi krisis tekanan jiwa yang paling berat yang mungkin menggugat kepimpinannya.

Tanpa menjadi menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin hanya seorang ahli Umno biasa yang syok sendiri, berbangga dengan ijazah Oxford, tetapi tidak akan mendapat perhatian dan kedudukan seperti sekarang ini. Dinasti Abdullah Badawi tidak akan menjadi kenyataan sekiranya Khairy tidak menjadi pengganti bapa mertuanya sebagai presiden Umno merangkap perdana menterj dalam masa 12 tahun akan datang.

Tapi tidak semua ahli dan pemimpin Umno akan menerima Khairy dengan penuh kebanggaan, dengan menyanyikan lagu ampu-mengampu seluruh pelusuk alam. Yang nyata setakat ini, Khairy Jamaluddin sudah dua kali diboo oleh para perwakilan Pemuda dan pemerhati dalam Perhimpunan Umno yang lalu. Barangkali inilah perutusan mukaddimah dan sebahagian besar para pemimpin Pemuda bahawa Khairy Jamaluddin tidaklah diterima dengan dada lapang oleh mereka.

Ibarat jeneral yang tidak pernah bertempur dalam peperangan, bagaimanakah dia hendak memperlihatkan kemampuan dan keperwiraannya menghadapi musuh? Mereka juga hendak memaklumkan kepada Pak Lah dan Kak Endon, Nori, Kamaluddin dan Kalimullah Hassan bahawa Khairy tidak disenangi oleh sebahagian besar para pemimpin Umno dan juga rakyat amnya.

Mereka berharap Pak Lah dan keluarganya yang tersayang dapat menghayati penolakan Khairy. Seperti kata peribahasa Melayu, burung terbang janganlah dipipiskan lada. Dinasti Abdullah Badawi tidak akan lahir ke dunia kalau Pak Lah mengharapkan menantunya membawa obor kegemilangan dan kecemerlangan dalam masa sepuluh tahun akan datang.

Sedutan daripada buku Khairy Jamaluddin: Bakal Perdana Menteri? tulisan Yahaya Ismail.

No comments: