Sunday, October 23, 2005

Hubaya Hubaya Mahathir dan AP-APnya

I think the article below which was circulating in the MCOBA (Malay College Old Boys Association) mailing list is a sad attempt to justify the unjustifiable. It gives the impression that corruption should be condoned and tolerated.

I refer to the paragraph.

"AP ini bukan isu Rafidah rasuah. Isu rasuah ini untuk saya tidak timbul kerana dalam kerajaan hari ini hampir mustahil untuk menemui menteri yang tidak mengambil bahagian dalam rasuah. Rasuah itu adalah sebahagian dari amalan politik kerajaan hari ini. Jadi saya menolak heboh-heboh AP ini sebagai tuduhan terhadap aktiviti rasuah Rafidah Aziz. Malah apa yang telah dijalankan oleh Rafidah telah mengikut dasar-dasar yang telah ditetapkan."

I believe we should be smart in making the distinction on whether to blindly support the personalities, or to support issues that have been brought up by such personalities. The points or questions raised by Mahathir on this AP issue warrant serious attention , despite whatever shortcomings that he has or whether we like him or not. But have the answers given or actions taken by the Govt been satisfactory?

There is no point for the current Administration to preach about transparency and fighting corruption, yet behind the scenes it is perceived to be doing otherwise. For example, they talk about open tender in the Govt. Is it really happening now? Or are we made to believe that this is happening?

The issue here is simple , the current Administration must walk the talk. No point coming up with endless slogans. We just want to see actions. If not, they will be labeled as hypocrites i.e "cakap tak serupa bikin".

---end---

HUBAYA HUBAYA MAHATHIR DAN AP-AP-NYA

Minggu lalu seorang pegawai tinggi dari sebuah bank internasional telah bertanya kepada kawan saya kenapa Mahathir Muhamad terus menimbulkan isu AP dan mempertikaikan semua kenyataan Rafidah Aziz.

Kawan saya ini seorang ahli perniagaan lalu menyusulkan pertanyaan itu kepada saya. Ini bukan satu soalan yang baru bagi saya. Saya juga telah berkali-kali ditanya oleh anak-anak muda dari Universiti Bangsar Utama dengan persoalan yang sama.

Bila soalan tentang Mahathir Muhamad ini timbul saya teringat di zaman Mao dan Deng di Tanah Besar China. Penyokong-penyokong Mao terus menggodam Deng tentang garis politik yang diambilnya. Penggudaman yang berkali-kali ini telah disifatkan oleh Deng seperti – membelasah anjing yang sudah mati. Ini jugalah rasanya apabila saya menulis tentang Mahathir Muhamad. Saya tidak mahu dilihat seperti membelasah anjing yang sudah mati.

Tetapi dalam hal Mahathir dan arus politik Malaysia ini ada sedikit perbezaan. Di kampung, di zaman saya kanak-kanak dahulu, jika kami – anak-anak - terserempak dengan ular maka kami akan tergesa- gesa mencari buluh untuk membelasah ular itu. Setelah dibelasah kami memastikan yang ular itu telah betul-betul mati. Kepalanya akan digodam hingga hancur.

Kemudian barulah kami bawa ular ini dan dibuangkan ke dalam sungai. Mitos antara kami ialah jika kepala ular ini tidak hancur dia akan datang membalas dendam.

Itu hanya mitos kanak-kanak tetapi boleh diambil sebagai ilmu politik. Musuh politik wajib di digodam sehingga tidak ada kemungkinan ianya kembali bernafas. Kepalanya wajib dipastikan telah betul-betul hancur. Ular yang telah dipukul oleh gerakan Reformasi pada tahun 1999 dahulu sebenarnya telah mengundur diri sebelum sempat digodam kepalanya sehingga lumat.

Dengan licik ular ini telah bersalin kulit. Malah ramai pula yang menyangka bahawa ular ini telah mati. Ini tidak tepat. Walau pun ular ini telah patah tulang belakangnya tetapi seperti ular senduk ianya masih berupaya untuk berdengus dan menakut-nakutkan musuhnya.

Kembali kepada persoalan Mahathir dan kenapa dia terus menimbulkan isu AP; saya memiliki beberapa pandangan. Untuk memahami apa yang sedang terjadi kita wajib melihat kembali kepada budaya politik United Malay National Organisations. Dalam badan politik ini penghormatan hanya diberikan kepada pemimpin yang memiliki kuasa. Pemimpin yang tidak berkuasa tidak akan menerima apa-apa penghormatan.

Hormat ini akan sampai tinggi menggunung jika yang memiliki kuasa berupaya untuk mengagih-agihkan kontrak, lesen balak, meluluskan projek dan segala macam kepentingan ekonomi. Pemimpin-pemimpin yang telah bersara dalam United Malay National Organisations pasti tidak memiliki kuasa untuk menjadi Santa Klaus justeru hamba Allah ini tidak akan dihormati. Taraf mereka bukan lagi sebagai Quran buruk tetapi telah menjadi surat khabar lama.

Budaya ini bukan sahaja difahami oleh Mahathir Muhamad, malah dia sendiri pun semasa berkuasa telah mengamalkan dan memperkasa ciri-ciri budaya ini. Jangan lupa apa yang telah terjadi kepada Tengku Abdul Rahman dan Hussein Onn. Dua hamba Allah ini pernah menjadi kepala kepada United Malay National Organisations. Ingatilah bagaimana kedua hamba Allah ini telah di kucing kurapkan oleh Mahathir Muhamad.

Ciri-ciri dan pola-pola untuk mengkucing kurapkan Mahathir Muhamad telah mula kelihatan. Mari sama-sama kita kembali mengingati berita di tv pada malam Anwar Ibrahim dibebaskan tahun lalu. Seperti tikus basah Mahathir Muhamad dengan anak isterinya telah memanggil sidang akhbar di bangunan Petronas. Rakyat melihat betapa moyoknya si Mahathir Muhamad pada petang itu. Dia hanya dikelilingi oleh isteri dan anak-anaknya yang masih setia. Para juak, hulubalang dan tukang sorak semuanya hilang lesap menikus lari.

Menyedari hakikat ini Mahathir Muhamad telah mengambil langkah untuk terus menyerang melalui media. Serangan melalui media ini penting untuk strategi Mahathir. Dengan muncul di media maka Mahathir inginkan rakyat Malaysia melihat susuknya bukan kucing yang berkurap tetapi masih seorang negarawan yang relevan.

Pada awal persaraan universiti-universiti di seluruh negara, kecuali Universiti Bangsar Utama, telah menganugerahkan ijazah kehormat kepada Mahathir Muhamad. Ini terjadi pada tahun pertama, kini semuanya telah berlangsung dan lihat bagaimana Mahathir Muhamad kini telah sanggup untuk datang ke majlis penyampaian hadiah di Sekolah Menengah Kampong Esok, Sekolah Jenis Kebangsaan Sinadorrai malah telah dilaporkan bahawa Mahathir Muhamad sanggup datang ke majlis penyampian hadiah Tadika Seri Murni.

Serangan terhadap Rafidah Aziz ini sebenarnya hanyalah satu helah politik Mahathir Muhamad. Di sini saya bukan hendak menyebelahi Rafidah Aziz. Tetapi hakikatnya semasa Rafidah Aziz diserang di parlimen ada unsur-unsur ‘sexist’ telah berlaku. Para Yang Berhormat telah cuba memperlihatkan kejantanan mereka. Mereka melihat Rafidah dari gendir yang lemah dan wajib diserang.

Sikap ‘sexist’ ini amat jelas kerana pada anggapan saya Rafidah Aziz memiliki keupayaan yang cekap sebagai seorang menteri. Malah jika dia bukan perempuan saya yakin Rafidah memiliki keupayaan dan keterampilan untuk menjadi Perdana Menteri. Jika dibandingkan dengan banyak menteri-menteri kabinet, saya akui Rafidah ini lebih berkualiti sebagai seorang menteri. Lakonan yang dimainkan oleh Rafidah ini sama seperti lakonan Benazir Bhutto jika dibandingkan dengan ahli-ahli parlimen lain yang hanya boleh berlakon ke tahap Napsiah Omar atau Ibrahim Ali.

AP ini bukan isu Rafidah rasuah. Isu rasuah ini untuk saya tidak timbul kerana dalam kerajaan hari ini hampir mustahil untuk menemui menteri yang tidak mengambil bahagian dalam rasuah. Rasuah itu adalah sebahagian dari amalan politik kerajaan hari ini. Jadi saya menolak heboh-heboh AP ini sebagai tuduhan terhadap aktiviti rasuah Rafidah Aziz. Malah apa yang telah dijalankan oleh Rafidah telah mengikut dasar-dasar yang telah ditetapkan.

Dasar Ekonomi Baru ialah memberi lesen kepada Bumiputera. Maka Bumiputera yang disebutkan ini termasuklah para kroni, penyokong parti, anak bini dan kaum keluarga. Dari segi dasar inilah yang telah dipersetujui. Malah Rafidah telah mengikut apa yang telah pernah dijalankan oleh Mahathir sendiri. Untuk saya Rafidah Aziz telah menjalankan dasar yang sama-sama diketahui dan diluluskan oleh Mahathir Muhamad. Apakah Mahathir Muhamad lupa bahawa dia dahulunya ialah ‘boss’ kepada Rafidah Aziz.

Jika tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku maka yang wajib dikritik dan diubah ialah dasarnya. Mahathir Muhamad telah menimbulkan agenda AP bukan kerana dia menentang rasuah atau menentang dasar memberi lesen kepada kroni. Ini bukan niat Mahathir. Mahathir Muhamad sedang menggunakan isu AP ini untuk menyediakan alasan kegagalan Syarikat Proton. Fakta ekonomi yang ada pada hari ini menunjukkan Proton adalah sebuah syarikat yang telah lama muflis. Proton hanya dapat bergerak kerana membaham duit rakyat.

Jika Proton betul-betul bergerak seperti syarikat pembuat kereta maka ianya telah lama ditalkinkan. Disinilah peranan jahat Mahathir Muhamad. Tanpa dijemput tanpa diminta dia terus menawarkan dirinya untuk menjadi penasihat Proton. Ini dilakukan kerana Mahathir Muhamad berkeras kepala ingin membuktikan bahawa babi boleh terbang dan ikan tilapia memerlukan basikal.

Dua minggu lalu Delphi syarikat vendor General Motors Corpration (GM) telah jatuh muflis. The filing in bankruptcy court is the latest sign that the U.S. auto industry's unionized workers face the painful restructuring efforts forced on airline and steel workers amid bankruptcies in those industries.(1) Syarikat Delphi ini bukan kecik anak. Jika dibandingkan Proton dengan Delphi sama lah seperti
membandingkan Siti Nurhaliza dengan Mariah Carrey. Delphi memiliki 45 buah kilang pembuatan injin di Amerika dan Canada dengan 49,000 orang pekerja. Kilang-kilang ini menyediakan pelbagai barangan untuk syarikat kereta GM.

Dari sejarah Proton , dari awal lagi para akademik dan ahli ekonomi tempatan telah bersuara dan mengatakan bahawa kerja membuat kereta untuk negara seperti Malaysia samalah seperti mimpi Erma Fatimah untuk berkahwin dengan Antonio Bandera. Atau sama seperti menghantar Sangkaran Pillay untuk menjadi juara 100 meter dalam sukan Olimpik.

Tetapi dengan angkuh sekali Mahathir Muhamad telah memperli dan memperlekehkan pandangan para akademik dan para ekonomis ini. Hasilnya hari ini semua rakyat Malaysia dipaksa membayar untuk terus menghidupkan bangkai bernyawa yang bernama Proton.

Penutupan syarikat pembuat kereta bukan satu yang baru. Satu ketika dahulu Australia juga telah mengeluarkan kereta Holden. Akhirnya syarikat ini ditutup. Banyak syarikat-syarikat pembuat kereta dalam dunia ini sedang menghadapi saingan hebat dari China dan Jepun. Fiat dari Italy dan Volkwagen dari Germany juga sedang mengalami keperitan.

Pembuatan kereta bukan hanya untuk jualan dalam negara sahaja. Industri kereta kita tidak mungkin dapat hidup dengan daya beli rakyat Malaysia. Negara kita bukan seperti China atau India. Hakikat ini disedari oleh Mahathir Muhamad. Kerana itu, kita jangan lupa, pada satu ketika dahulu Mahathir cuba menggalakkan rakyat bersenggama siang dan malam sebanyak mungkin agar penduduk Malaysia menjadi 75 juta orang. Ini kerana niatnya untuk menjual kereta Proton.

Sepanyol yang penduduknya hanya sekali ganda dari Malaysia berjaya dengan industri keretanya kerana - Spain’s auto industry held up well in 2004, producing just over 3 million vehicles, of which 2.4 million were cars and the rest industrial vehicles. The sector exported 82% of its products, 0.6% fewer than the previous year. The results mean Spain maintains its position as Europe’s third biggest carmaker and the number seven producer in the world. It is also number one in Europe in industrial vehicles. (2)

Amat jelas dalam kes negara Sepanyol ini, kunci kejayaan ialah bersaing dan dapat menjual kereta ke luar negara. Jadi saya melihat isu AP ini memiliki udang di sebalik batu. Ada satu lagi perkara yang paling penting dalam memahami heboh-heboh AP Rafidaz Aziz ini. Apabila Mahathir menyerang dan menimbulkan isu AP maka rakyat diharap-harap akan terlupa kepada lebih banyak jenayah-jenayah ekonomi, kes-kes rasuah dan tahi masam yang telah ditinggalkan bersepah-sepah oleh Mahathir Muhamad.

Jangan lupa tentang projek Bakun. Berapa bilion ringgit yang telah hangus dibaham oleh kroni Mahathir Muhamad. Jangan lupa dengan projek Pewaja. Berapa bilion ringgit yang telah hilang hangus. Jangan lupa tentang Bank Bumiputera yang hilang dua bilion ringgit. Dan pergilah berjalan dan lihat dengan rapi rupa bentuk bangunan di Putrajaya. Banyak yang mula terkehel, robek, berlubang, bocor dan pecah. Plastik- plastik murah, besi-besi tidak berkualiti , batu bata cekai telah digunakan dalam mendirikan bangunan-bangunan yang dimimpikan Mahathir Muhamad. Malah rumah resmi Perdana Menteri yang belum dipakai telah wajib diperbaiki. Cuba tanya kerja jahat siapa ini? Berapa bilion ringgit agaknya yang telah masuk ke dalam saku para kroni?

Bagaimana pula dengan Convention Center yang sedang menjadi lipas menjalar di atas bukit yang hanya baru dua kali digunakan untuk persidangan antarabangsa. Bagaimana pula dengan stadium Bukit Jalil yang telah mula bocor. Dan bagaimana pula dengan berita 700 juta ringgit dari Bank Islam yang tiba-tiba hilang. Duit sebanyak ini tidak mungkin berlayar ke Bosnia atau ke Afrika tanpa ada hamba Allah yang membenarkannya.

Bayangkan berapa ramai generasi anak-anak muda yang telah memasuki universiti dan lembaga-lembaga pengajian tinggi telah di bebalkan oleh Mahathir Muhamad. Mereka telah dibonsaikan otak fikrahnya sehingga mereka terlupa untuk bertanya - apa telah terjadi tentang heboh-heboh Multimedia Super Corridor dahulu? Apa telah terjadi kepada E-Village? Apakah tujuan mendirikan Cyberjaya itu hanya untuk membuat kajian tentang lalang dan belukar ? Berapa bilion ringgit telah tercurah di sini?

Woit! Isu AP Rafidah ini adalah amat kecil berbanding dengan berbilion ringgit yang hilang, lenyap dan lupus kerana projek-projek mega Mahathir Muhamad. Kes Rafidah dengan Mahathir ini samalah seperti kes Saddam dengan Bush. Saddam Hussein menghukum rakyat Iraq yang menentang beliau. Tetapi George membunuh semua rakyat Iraq.

Akhir-akhir ini Mahathir Muhamad sedang cuba sedaya upaya menunjukkan bahawa dia telah begitu berusaha untuk mendirikan kilang kereta nasional. Dalam usaha suci lagi murni ini dia telah berputar belit bersilat lidah.

Bayangkan seorang perdana menteri sebuah negara dan seorang Wira Dunia Ketiga telah ditipu oleh Naza seorang penjual kereta secondhand. Ini bukan tohmah dari saya. Ini pengakuan Mahathir Muhamad sendiri.

Ha.Ha.Ha. Betapa cekainya Mahathir Muhamad. Rupa-rupanya selama 20 tahun ini negara kita ini telah dipimpin oleh Mat Bebal yang boleh dikelentong oleh seorang penjual kereta second hand. Saya amat yakin tentang fakta ini. Lim Goh Tong tidak bersekolah. Tan Pek Keng hanya seorang driver. Vincent Tan hanya seorang penjual tayar dan insurans. Jika dibandingkan kelihatan si Naza ini ada belajar sedikit. Semua ini menimbulkan kesangsian. Apakah Mahathir Muhamad ini betul-betul pernah belajar di King Edward College di Singapura. Atau dia telah membeli ijazahnya dari Universiti Kerala yang memiliki cawangan di Chulia Street Penang?

Saya kasihan terhadap para Yang Berhormat di parlimen yang telah tertelan ‘decoy’ yang telah dipasang oleh Mahathir Muhamad. Serangan-serangan terhadap Rafidah adalah taktik mempertahankan diri untuk memastikan kes dan fail rasuah dirinya sendiri tidak akan dibuka. Rafidah dan AP akan dipersalahkan apabila Proton menjadi perniagaan buluh kasap – hujung hilang pangkal lesap.

Saya di sini tidak ingin membelasah anjing yang telah mati. Saya hanya terkenang kepada mitos zaman kanak-kanak saya dahulu. Kalau bunuh ular kepalanya mesti dihancurkan. Jangan silap anggap ular ini bukan mentor dan bukan ayah angkat. Kerana itu datuk nenek moyang kita telah meninggalkan pesan - jika jumpa ular dan jumpa ayam hutan ketuk kepala Mahathir dahulu.

Jika ini dilakukan pasti dapat kita buktikan bahawa babi memang tidak boleh terbang dan ikan tilapia memang tidak memerlukan basikal. END

NOTA
1 - Money CCN 10/10/2005
2 - Global Update MarketNewZealand.Com. 9/6/2005

No comments: